Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Aal-E-Imran, Ayah 159)
Islam Semakin Dijulang
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana sekali lagi dengan limpah kurnia dan keizinanNya dapat kita bersama di dalam Muktamar Tahunan PAS Kali ke-66 yang diadakan di bumi penuh barokah, Bumi Serambi Mekah Negeri Kelantan Darul Naim.
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Ahli Keluarga baginda dan para sahabat serta seluruh pendokong Islam sepanjang zaman. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.
Oleh itu, pimpinan dan juga ahli perlu mendokong dasar perjuangan PAS dengan penuh keikhlasan kerana keikhlasan yang lahir dari hati murni pejuang-pejuang PAS inilah yang menjadikan Islam semakin di julang di bumi bertuah Malaysia ini.
Muhasabah Untuk Terus Kukuh
Hari ini kita telah menyaksikan bahawa PAS telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perikatan Nasional yang telah beralih tampuk kepimpinan pada musim negara dilanda wabak pandemik Covid 19.
Alhamdulillah, PAS bersama Kerajaan Perikatan Nasional telah berusaha mengurus negara dengan segala daya bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil sehingga beberapa kejayaan telah tercipta dengan bantuan Allah s.w.t. Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 ini di harap menjadi medium yang terbaik untuk ahli-ahli serta pendokong PAS melontarkan pandangan dan muhasabah demi perpaduan yang sedang dibina dan insyaallah akan terus kukuh untuk menghadapi PRU-15.
Kepatuhan dan ketaatan ahli-ahli PAS kepada setiap arahan kepimpinan merupakan tunjang kepada pengukuhan Muafakat Nasional. Akhir kata, bagi pihak Badan Perhubungan PAS negeri Kelantan, saya mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh muktamirin dari seluruh Negara.
Semoga muktamar yang diadakan pada bulan Muharram ini akan menyaksikan satu penghijrahan yang terbaik demi perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.
Sekian, Wassalam.
Yang Benar,
DATO’ HAJI CHE ABDULLAH MAT NAWI JP, J.M.K, D.J.M.K. (KELANTAN)
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan
(18 Muharram 1442H bersamaan 6 Sept 2020)